Apa Implikasi Dalam Kewangan Kalau Kahwin Kali Kedua?
Sepertiga daripada wanita di Amerika Syarikat (AS) berkahwin semula dalam masa dua hingga empat tahun selepas bercerai manakala 39 peratus daripada lelaki berkahwin semula kurang daripada dua tahun, dan 38 peratus daripada wanita menunggu lebih daripada empat tahun untuk berkahwin semula.
Demikian menurut satu kajian yang dijalankan di AS yang dinamakan ‘ Jaminan Kewangan untuk wanita yang berkahwin semula’. Seramai 426 orang yang berkahwin untuk kali kedua diinterviu untuk kajian itu.
Pasangan yang menuju ke arah perkahwinan kali kedua lazimnya membawa bersama mereka permasalahan lama, hasil perkahwinan terdahulu.
Permasalahan ini adalah dalam bentuk emosi dan kewangan di mana kewangan biasanya melibatkan hutang yang sedia ada, tabiat lama berbelanja dan perancangan belanjawan serta tanggungjawab kewangan untuk keluarga yang terdahulu.
Justeru, kepada mereka yang berhasrat untuk berkahwin bagi kali kedua, Persatuan Akauntan Bertauliah (ACCA) menawarkan beberapa panduan dari aspek kewangan sebagaimana yang terkandung dalam buku panduannya mengenai Perancangan Kewangan.
ACCA menasihatkan supaya seseorang itu dapat memikirkan untuk membuat perjanjian pra-nikah, cara-cara membahagikan aset dan tanggungan, dan cara terbaik mewujudkan akaun persendirian serta akaun untuk seisi rumah.
STATUS KEWANGAN SEMASA
Ketiga-tiga elemen itu disifatkan sebagai persediaan yang wajar sebelum seseorang memutuskan untuk berkahwin semula supaya ia dapat melengkapkan dirinya dari segi kewangan.
Antara perkara yang perlu dibincangkan bersama dengan bakal pasangan ialah:
* Jumlah hutang yang ditanggung dan dengan siapa ia berhutang. Ini merangkumi, antaranya, sewa beli, gadai janji, pinjaman untuk belajar dan pinjaman persendirian.
* Corak perbelanjaan anda terutama sekali dengan penggunaan kad kredit. Berapa banyak yang dibelanjakan setiap bulan dengan menggunakan kad kredit dan berapa banyak bakinya, serta berapa banyak pula yang anda ketepikan sebagai simpanan.
* Tanggungjawab kewangan anda kepada yang lain. Ini termasuk saraan atau nafkah dan perbelanjaan kepada anak-anak daripada perkahwinan terdahulu atau ibu bapa yang berusia.
Jika anda berhasrat untuk berkongsi tanggungjawab kewangan dengan bakal pasangan hidup anda, adalah lebih baik jika anda berbincang terlebih dahulu siapa yang membayar apa.
Jika salah seorang daripada anda enggan mendedahkan maklumat kewangan, itu seharusnya dengan segera menghantar mesej ‘bendera merah’ sebagai tanda amaran kerana pasangan anda mesti ada sebab kenapa ia berbuat demikian.
PERTIMBANGKAN PERJANJIAN PRA-NIKAH
Andaikata anda tidak menandatangani perjanjian pra-nikah untuk perkahwinan pertama, adalah baik jika anda dapat mempertimbangkannya kali ini terutama sekali jika anda mempunyai anak daripada perkahwinan terdahulu, memiliki perniagaan atau menjadi rakan kongsi dalam sesebuah syarikat, atau jika anda berada pada kerjaya yang membolehkan anda
meraih pendapatan yang lumayan.
Pendek kata, sebuah perjanjian pra-nikah seharusnya mengandungi maklumat-maklumat seperti aset dan tanggungan yang setiap seorang daripada anda harus bawa ke dalam perkahwinan dan ia juga seharusnya menetapkan dalam perjanjian itu mengenai pembahagian aset jika anda ingin mengemukakan perceraian.
Isu-isu yang sering ditimbulkan dalam sesebuah perjanjian ialah:
* Aset dan tanggungan
Apakah aset yang setiap seorang bawa dalam perkahwinan dan apakah nilainya Aset manakah yang menjadi harta perkahwinan dan yang mana pula akan terus dimiliki secara individu Apakah tanggungan yang setiap seorang miliki
* Perancangan harta pusaka
Apakah pula yang akan diperolehi oleh anak-anak anda daripada perkahwinan terdahulu dan juga perkahwinan kali kedua
* Jika anda bercerai
Bagaimanakah aset-aset itu akan dibahagikan Adakah pasangan anda menerima penyelesaian dalam jumlah yang banyak atau bayaran nafkah
ASET DAN TANGGUNGAN
Menyentuh mengenai perkongsian aset dan tanggungan dalam
perkahwinan kali kedua, di sini adalah perkara-perkara yang anda boleh
lakukan.
* Hutang sebelum kahwin
Adalah lebih baik untuk mengasingkan hutang supaya ia dapat melindungi harta pasangan anda daripada penghutang.
* Hutang sewaktu perkahwinan
Sesuatu hutang itu wajar dikongsi bersama sekiranya ia diperolehi bersama. Jika tidak, ia wajar diasingkan.
* Harta dimiliki berasingan sebelum perkahwinan semula
Asingkan aset kerana ia boleh digunakan untuk diberikan kepada anak-anak daripada perkahwinan terdahulu. Ia juga adalah untuk melindungi anda daripada kehilangan harta kepada pemiutang pasangan anda.
MENYIMPAN AKAUN
Bagi sesiapa yang ingin memasuki gerbang perkahwinan untuk kali kedua, dinasihatkan supaya mewujudkan dua bentuk akaun iaitu akaun bersama dan akaun berasingan.
Akaun bersama boleh digunakan untuk menjelaskan perbelanjaan seisi keluarga seperti utiliti dan barangan dapur. Sumbangan untuk akaun bersama boleh dibuat secara adil atau sama rata atau boleh dibuat pada kadar pendapatan setiap pasangan.
Jika anda berpendapatan lebih daripada pasangan anda, anda mungkin ingin menyumbang 60 peratus daripada jumlah keseluruhan.
Memiliki akaun berasingan adalah penting terutama sekali jika anda mempunyai komitmen kewangan yang diwarisi daripada perkahwinan terdahulu.
Komitmen itu termasuklah bayaran nafkah dan menyara anak. Bahkan, memiliki akaun berasingan secara psikologi akan memudahkan perkahwinan apabila anda tahu ia tidak datang daripada akaun bersama keluarga.
Pengalaman melalui perkahwinan pertama dan seterusnya perceraian, sepatutnya mendorong anda untuk mengambil langkah-langkah berwaspada terutama sekali dalam memulakan perbincangan mengenai kewangan dengan bakal pasangan anda.
Terdapat beberapa perkara yang perlu anda ketahui dan lakukan demi mewujudkan status kewangan yang baik. Dan ia menjadi lebih bertepatan jika perkahwinan pertama anda hancur disebabkan isu-isu kewangan.
Artikel ini diperolehi daripada Bernama.


















