Bagaimana Teknologi Media Baru Membantu Popularkan Olimpik Beijing

SUKAN Olimpik Beijing yang akan akan membuka tirai minggu depan, bakal mencetus satu dimensi baru dalam penganjuran temasya sukan besar dunia, khususnya dari aspek penggunaan inovasi dan teknologi.

Ini susulan peningkatan minat orang ramai terhadap temasya sukan empat tahun sekali itu yang melonjak secara mendadak sejak tercetusnya media baru seperti Internet.

Justeru, penganjur sukan Olimpik tahun ini, Beijing, mengambil beberapa langkah penting untuk memastikan kota yang penuh dengan tinggalan sejarah purba itu terus terpelihara tetapi pada masa sama dapat meningkatkan bilangan penonton dari seluruh dunia.

Ia mampu dicapai kerana pihak berkuasa China sudah melaksanakan perancangan awal untuk berdepan sebarang kemungkinan, semuanya menerusi bantuan teknologi.

Bimbang dengan pemanasan global menjelang kehadiran ramai penonton dan atlit ke ibu negara China itu, pihak berkuasa Beijing mengambil keputusan untuk menggunakan teknologi mesra alam dan sumber tenaga bersih dalam membina venue dan kemudahan bagi temasya sukan terbesar dunia itu.

Malah, venue utama temasya Olimpik tahun ini, Stadium Nasional Beijing yang dikenali sebagai ‘Sarang Burung’ dikatakan menjadi bukti janji penganjur untuk menjadikan temasya kali ini begitu mesra alam.

Suruhanjaya Perancangan Perbandaran Beijing menggunakan teknologi moden seperti kitar semula air, penggunaan air hujan, jana kuasa foto voltan solar dan pam haba sumber air untuk menguruskan segala keperluan delegasi yang bakal membanjiri kota raya berkenaan.

Penggunaan teknologi moden ini mampu membantu melindungi persekitaran Beijing yang dikhuatiri tercemar teruk dengan kehadiran jumlah penonton yang dijangka memecah rekod berbanding sukan Olimpik sebelum ini.

Ia juga mampu menggalakkan inovasi bagi kegunaan tuan rumah temasya sukan besar lain pada masa depan.

Secara keseluruhannya, difahamkan terdapat 26 inovasi dicipta sepanjang tempoh persiapan Beijing menganjurkan Sukan Olimpik 2008.

Bagi mencapai sasarannya untuk menjadi ‘Olimpik Mesra Alam’, penganjur sukan berkenaan menggunakan bahan yang mesra alam sekitar untuk membina venue utama seperti Olympic Green, Olympic Village dan Olympic Forest Park.

Sebanyak 31 venue pertandingan dan 45 venue latihan dibina bagi Sukan Olimpik Beijing. Kebanyakannya terletak di lima kawasan yang dinamakan Olympic Green, komuniti barat, kawasan indah utara, kawasan universiti dan komuniti timur.

Tumpuan khusus diberikan untuk melindungi peninggalan kebudayaan China di seluruh kawasan pembinaan projek Olimpik, terutama usaha memberi perlindungan dan pembaikan binaan purba di zon Olympic Green seperti Goddess Temple dan Dragon King Temple.

Kedua-dua lokasi stadium utama Olimpik dan beberapa laluan ke venue pertandingan dielakkan daripada bertembung dengan sumber air penting dan bahan asli.

Konsep Olimpik Mesra alam ini mempunyai tiga implikasi iaitu persekitaran bersih, stadium mesra alam yang dilengkapi ciri penjimatan tenaga dan kesedaran kepentingan menjaga alam sekitar kepada orang awam.

Dalam pada itu, di sebalik kepekaan terhadap usaha melindungi persekitaran dan warisan budaya Beijing, penganjur tidak boleh menolak hakikat bahawa temasya Olimpik semakin mencuri tumpuan ramai, terutama daripada golongan pertengahan di seluruh dunia.

Bagi mengawal kedatangan penonton yang terlalu ramai ke kota itu, penganjur berjanji untuk memberikan liputan seolah-olah sama seperti penonton berada di venue pertandingan.

Ia bakal dilaksanakan dengan penggunaan media baru secara menyeluruh, berbanding penganjuran Olimpik sebelum ini, termasuk dengan bantuan stesen penyiaran terkemuka dan gergasi laman web seperti YouTube dan Yahoo.

Ini menjadikan maklumat diterima dengan pantas dan pada masa sebenar, sekali gus tidak mengganggu ‘mood’ tontonan.

Mengambil contoh ini, pada 776 sebelum Masihi, Coroebus of Elis, seorang pembuat kek dan juga atlit terkemuka Greek mencipta sejarah dunia apabila muncul sebagai pemenang acara pecut balapan pertama Sukan Olimpik purba.

Berita kemenangan Coroebus mengambil masa berminggu-minggu, malah berbulan-bulan lamanya sebelum dapat disampaikan ke seluruh pelusuk Athens.

Hampir 3,000 tahun selepas sejarah kehebatan Coroebus diabadikan, Sukan Olimpik moden di Beijing jelas jauh menunjukkan kemajuan dalam aspek penganjuran keseluruhannya.

Terima kasih kepada teknologi, pemenang acara 100 meter dalam Sukan Olimpik edisi kali ini akan diketahui penonton seluruh dunia sebaik saja beliau melepasi garis penamat, di hujung jari saja.

Malah, difahamkan temasya kali ini akan mengundang bilangan penonton paling ramai dalam sejarah, bukan saja menerusi kaca televisyen, malah di hujung jari mereka.

Bagi penonton yang sibuk bekerja di pejabat, mereka kini tidak perlu menanti untuk menanti siaran televisyen di rumah, sebaliknya semua persaingan yang berlaku di gelanggang boleh ditonton terus dari Internet. Mereka juga boleh melanggan peringatan teks dan video terus ke telefon bimbit.

Firma Hong Kong, i-Cable; gergasi penyiaran Amerika Syarikat, NBC; serta dua firma Asia Timur, NHK dan CCTV adalah antara syarikat pertama yang mendapatkan hak penyiaran media baru bagi Sukan Olimpik Beijing.

Stesen i-Cable contohnya, memberi peluang kepada pengunjung laman webnya untuk mendaftar dan menonton percuma siaran secara langsung pertandingan itu secara dalam talian.

Arah aliran baru teknologi media baru ini dijangka menjadi petunjuk kepada dua bakal tuan rumah sukan terbesar dunia yang akan datang iaitu Afrika Selatan untuk Piala Dunia 2010 dan London untuk Sukan Olimpik 2012.

Mereka boleh mempelajari cara untuk mengekalkan minat penonton terhadap sukan berkenaan, tetapi pada masa sama mengawal kedatangan peminat yang terlalu ramai hingga boleh mencetus ancaman kepada keselamatan awam.

Segala-galanya tidak mustahil dengan bantuan teknologi.

http://olimpikbeijing.blogspot.com

1 Star2 Stars3 Stars4 Stars5 Stars (No Ratings Yet)
Loading ... Loading ...