Lelaki Cina Cipta Sistem Belajar Jawi Dengan Cepat

Cerita yang jarang terdapat diMalaysia:

Demi cintanya kepada tulisan Jawi, seorang lelaki Cina
akhirnya berjaya mencipta satu kaedah mudah mempelajari teknik menguasai
tulisan dan membaca Jawi dengan cepat dan berkesan.

Bagi Lee Guan Hooi, 47, tiada apa yang lebih bermakna dalam hidupnya selepas 25
tahun mempelajari tulisan itu kerana beliau kini merupakan kaum Cina pertama
yang mencipta Kaedah Jawi Mesra Pengamal Rumi.

“Tulisan Jawi sangat indah dan sebab itu saya mahu semua bangsa mempelajarinya
kerana ia sangat unik,” katanya kepada Bernama di sini hari Ahad.

Lee yang bertugas sebagai Pembantu Penerangan Kanan, Cawangan Perancangan dan
Penyelidikan di Jabatan Penerangan Kelantan dan berasal daripada Kedah, telah
mendaftarkan ciptaannya itu di Mahkamah Tinggi di sini pada 29 Mac lepas.

Kaedah yang diciptanya itu merangkumi 13 disiplin asas mengeja dan menulis
dalam Jawi, antaranya Berhenti Roda Bertitik, Tutup Kata Pecat Alif, Kata
Melayu Kaf-Qaf, Kata Inggeris Kaf-Kaf dan Kata Melayu Ha, Kata Arab Ha.

Menurutnya melalui kaedah itu sesiapa yang sebelum ini langsung tidak mampu
membaca dan menulis Jawi dijamin dapat menguasainya dalam tempoh dua hari
sahaja.

“Tetapi ia perlu kepada tumpuan yang sangat tinggi dan kaedah ini sangat senang
untuk dipraktikkan oleh semua peringkat umur,” katanya.

Menceritakan sejarah mempelajari Jawi, Lee yang tidak pernah bergurukan sesiapa
untuk mempelajari tulisan itu, berterima kasih kepada akhbar Berita Harian yang
sebelum ini mempunyai kolum khas untuk belajar tulisan Jawi.

Setiap hari Lee menggunting kolum khas belajar jawi Pak Matlob dan belajar
bersendirian selain berpandukan buku Jawi yang banyak terdapat di pejabatnya.

Beliau berkata beratus-ratus keratan ruangan Belajar Jawi Bersama Pak Matlob
itu telah digunting dan dilekatkan ke dalam lebih lima buah buku khusus untuk
ruangan itu.

“Saya tak pernah jemu belajar. Yang mana tidak faham saya bertanya kawan-kawan
Melayu lain,” katanya.

Selain itu, beliau juga melanggan akhbar Utusan Melayu iaitu akhbar bertulisan
Jawi selain beberapa buku ejaan Jawi yang dikeluarkan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Pada 2 hingga 3 Nov tahun lepas, Lee adalah antara dua peserta Cina yang
menyertai Kursus Intensif Jawi di Dewan Bahasa Pustaka Wilayah Timur.

Lee yang berkelulusan Sijil Khas Komunikasi dari Universiti Sains Malaysia,
mula tertarik kepada tulisan Jawi ketika berkhidmat di Kelantan pada 1978.

“Ketika itu bila masuk kampung, saya lihat ramai masyarakat Melayu termasuk
Cina di pedalaman membaca akhbar Jawi dan sejak itu saya tertarik untuk
mempelajarinya,” katanya.

Beliau berkata hubungan yang akrab dengan penduduk Melayu juga menyebabkan
dirinya jatuh cinta dengan tulisan tersebut.

Selain mampu membaca Jawi dengan fasih, Lee juga mampu menulis tulisan itu
dengan cantik dan kini berazam untuk mempelajari tulisan khat.

Ketika ditanya bila beliau akan membukukan kaedah ciptaannya itu, Lee berkata
ia akan dilakukan sebaik sahaja beliau habis mengumpul semua kata pinjaman
Bahasa Arab ke Bahasa Melayu.

“Tulisan Jawi berkait rapat dengan tulisan dan bahasa Arab dan ini penting bagi
memudahkan masyarakat Malaysia untuk menguasai Jawi,” katanya.

Walaupun Lee ketika ini tidak menjadi guru Jawi, sebuah kolej swasta di sini
telah menawarkannya menjadi tenaga pengajar di kolej tersebut khusus untuk
mengajar subjek Jawi kepada mereka yang mengambil kursus teras atau elektif.

Lee juga sanggup menjadi guru kepada sesiapa yang berminat mempelajari kaedah
ciptaannya itu.

“Saya minta pelajarilah Jawi ini kerana saya takut ia akan pupus ditelan zaman
apabila generasi baru terutama masyarakat Melayu tidak mahu lagi
mempelajarinya,” katanya.
Untuk menceburi perniagaan menulis ,sila klik http://writehome.pinurl.com

1 Star2 Stars3 Stars4 Stars5 Stars (1 votes, average: 4 out of 5)
Loading ... Loading ...